Bomoh Tarik Duit RM3 Juta!


Pelik sungguh saya dengan Amran. Tadi dia datang ke rumah saya lagi. Kali ini minta pinjam batu cincin pula. Malas cakap banyak, saya terus pinjamkan. Lagipun saya sudah masak sangat dengan perangai Amran itu.

Tak kemana pun dia bawa batu tersebut. Mesti dia bawa batu cincin tadi jumpa bomoh. Untuk apa? Apa lagi, untuk tarik duitlah. Kononnya dengan batu cincin itu sahaja boleh jadi kaya.

Bawa saja barang-barag lama itu jumpa bomoh atau pawang, nanti bomoh akan jampi, baca mantera. Fuh sana fuh sini, lepas tu dapat la duit. Katanya duit itu daripada alam ghaib.

Bukan Amran saja. Ramai lagi rakan saya yang macam tu. Kemaruk nak kaya dengan jalan mudah.

Saya ingat lagi ada sekali tu, seorang kawan bernama Shuib datang jumpa saya. Katanya nak tengok koleksi keris dalam simpanan saya.

Saya pun tunjuklah padanya. Bila ditunjuk, Shuib tenung sebilah keris tu. Lama dia belek keris yang dipanggil keris Picit.

"Elok ni. Boleh buat tarik duit," ujar Shuib.

Tarik duit? Macam mana tu? Bila saya tanya Shuib senyum saja. Katanya "tunggu!"

Seminggu kemudian, Shuib datang jumpa saya semula. Kali ini dia mengajak saya turut serta.

"Kalau ikut, engkau pun dapat bahagian nanti. Lagipun, bomoh kata pemilik keris kena ikut juga, baru benda ni akan jadi," beritahu Shuib serius.

Bersungguh-sungguh dia memujuk supaya saya turut serta.

Selepas fikir masak-masak, saya setuju. Bukan sebab saya nak duit, tapi saya nak tengok dengan mata kepala sendiri. Macamana upacara tarik duit itu dijalankan.

Esoknya, Shuib menghubungi saya memaklumkan, minggu depan saya perlu mengikutnya ke Perak.

Kami akan pergi seramai enam orang. Saya dan Shuib dari Johor, dua dari Kedah dan dua lagi dari Taiping.

Kata Shuib lagi, kami akan berjumpa bomoh yang mampu memindahkan duit dari alam ghaib ke dalam akaun bank milik salah seorang daripada kami.

Pagi sabtu itu, saya menaiki bas dari Johor ke Ipoh. Saya turut membawa Keris Picit tadi. Selepas enam jam dalam bas, saya tiba di Ipoh dan disambut oleh Shuib.

Malam itu sebelum bergerak ke rumah bomoh, Shuib membawa saya berjumpa dengan ahli-ahli lain. Kami berkumpul disebuah kedai makan.

Baru saya tahu rupanya setiap seorang ada tugas masing-masing. Shuib yang bertindak sebagai ketua mahu memastikan semua yang diminta bomoh tersebut dibawa bersama.

"Aina, ada bawa keris?" tanya Shuib.

Saya angguk.

"Mail?" soal Shuib pada lelaki dari Kedah pula.

Lelaki tadi mengangguk dan mengeluarkan sebiji batu berwarna hitam dari beg. Katanya itu batu pelik.

"Hassan, engkau ada bawa barang kau?" tanya Shuib lagi.

Lelaki dari Taiping itu mengangguk dan mengeluarkan sekeping kad ATM bank. Saya lihat ia kad sebuah bank tempatan dan warnanya juga sudah lusuh.

"Nak buat apa kad tu?" saya bertanya pada Shuib.

"Lepas buat nanti, kita cucuk dekat ATM. Bomoh akan pindahkan duit dari alam lain masuk dalam akaun ni," terang Shuib.

Mendengarnya saya tertunduk. Keras perut saya menahan ketawa. Kelakar sungguh. Tak sangka makhluk halus pun ada bank. Hahaha..

Pun begitu, saya ikutkan saja. Saya layankan. Selepas semua cukup, Shuib mengutip setiap seorang dua puluh ringgit. Katanya untuk digunakan sebagai duit pengeras.

Malam itu kami berkereta ke Tambun, lokasi yang dikatakan rumah bomoh tersebut.

Sebaik tiba, saya lihat suasana disitu sungguh meriah. Penuh dengan orang ramai.

Yang datang itu pula semuanya berkopiah putih atas kepala. Tak silap saya lebih 30 orang. Ada datang dari Kedah, Kelantan dan orang sekitar.

Dek kerana itu kami terpaksa menunggu giliran. Sejam lebih menunggu barulah kami dipanggil masuk menghadap bomoh tersebut.

Kami berenam dibawa masuk ke dalam sebuah bilik. Dipenjuru bilik itu duduk bersila seorang bomoh. Usianya saya kira sekitar 50 tahun.

Semua barang-barang tadi diletakkan depan bomoh bersama duit pengeras. Keris yang saya bawa, diambil bomoh tersebut. 

Dia membelek-belek keris itu sambil mulutnya terkumat-kamit. Entah apa dibacanya saya tidak tahu.

Keris itu kemudiannya diletakkan ke lantai. Beberapa saat kemudian, Keris Picit itu mula berdiri dan berpusing-pusing. Waktu itu mata saya terbeliak.

Pertama kali saya melihat keris itu boleh berdiri tegak tanpa sesiapa memegangnya. Selepas setengah jam berdiri dan berpusing-pusing, keris tadi jatuh semula.

"Apa yang saya tengok, kamu semua boleh dapat tiga juta," ujar bomoh dengan muka serius.

Saya yang mendengar kata-kata bomoh tadi macam hendak terkeluar biji mata. Tiga juta?

Kawan-kawan lain pula saya tengok tersengih-sengih. Mungkin tengah berangan akan bergelar jutawan.

"Guna kad bank ni, nanti pergi cucuk selepas seminggu. Ingat, tak boleh cek baki.

"Masukkan kad terus keluarkan seratus tu baru boleh keluarkan semua," pesan bomoh itu tentang syarat-syaratnya.

Kata bomoh itu lagi, jika sesiapa melanggar syarat, duit tersebut akan hilang. Selain itu, sepuluh peratus dari tiga juta perlu diserahkan kepada bomoh tersebut sebagai bahagiannya.

Rakan-rakan lain semua mengangguk. Selepas bersalaman dengan bomoh, kami minta diri.

Malam itu, semasa dalam kereta, kawan-kawan lain asyik ketawa. Pakat bercerita dengan angan-angan masing-masing.

Ada yang nak guna duit tersebut buat rumah baru, nak buat car wash, kedai makan dan macam-macam lagi. Saya pula hanya diam.

"Engkau nak buat apa Aina?" tiba-tiba Shuib bertanya.

"Rahsia," pendek saja jawapan saya.

Sebenarnya saya malas nak melayan. Memang saya tak percaya yang kami akan dapat duit tersebut. Memang tak logik.

Bayangkan, tak perlu kerja tiba-tiba sahaja duit dalam akaun berganda kepada tiga juta?

***

Tiga minggu kemudian, saya terserampak dengan Shuib di pekan. Sudah dapatkah Shuib bahagian dari tiga juta tu?

Tapi kalau tengok daripada segi pakaian, Shuib selekeh saja. Tak bergaya macam orang berduit. Masih berkereta buruk ke sana sini.

"Macam mana, dapat dah duit tu?" tanya saya sebaik menghampiri Shuib.

"Tak jadi la," jawab Shuib. Nampak kecewa.

"Kenapa pula tak jadi?" tanya saya lagi.

"Bomoh kata ada salah seorang daripada kita tak ikhlas. Tamak. Dia nak lebih. Sebab tu tak jadi.

"Tapi tak apa, lepas ni kita cuba lagi," beritahu Shuib tanpa berputus asa.

Mendengar jawapannya. sekali lagi saya tersenyum. Dalam hati ni tak usah cakaplah. Pelik sungguh saya.

Sudah terkena macam tu belum sedar-sedar lagi. Masih percaya pada benda-benda karut begitu. Yang untung, bomoh tersebut. 

Bayangkan seorang dikenakan bayaran RM20. Malam itu saja lebih tiga puluh orang. Itu baru satu malam. Berapa pula jumlahnya kalau tiga puluh malam?

Kemudian, bila tak jadi bomoh tadi laga-lagakan pula. Kata, salah seorang ahli dalam kumpulan tak ikhlas. Tamak. Kah kah kah..

Alasan macam tu siapa pun boleh cakap. Tak payah jadi bomoh!

Sebab tu saya pelik. Orang kita ni mudah sangat percaya benda-benda karut macam ni.

Kalau betullah tarik duit ni boleh kaya, rasanya bomoh tak akan heboh-hebohkan. Lebih baik dia guna kebolehan tu untuk diri sendiri.

Sudah-sudahlah, tarik duit, tukar cek di alam bunian tu mengarut saja. Tak ada orang menjadi kaya di dunia ni dengan kerja mudah.

Kerja sehari untung berjuta. Hahaha..

Nota editor: Saya dalam cerita diatas hanya mahu dikenali sebagai Aina, 33 tahun dan berasal dari Johor. Aina merupakan seorang pengumpul barang-barang lama.

*Artikel ini dipetik dari majalah Mastika Ogos 2016.

No comments

Powered by Blogger.